Halaman Rumah Aku

Nuffnang Ads

Pengikut

26 Jun 2012

Kesan sumpahan Sang Kelembai


BAGI penggemar cerita mitos Melayu, watak Sang Kelembai pasti tidak dapat dipisahkan kerana kisah legenda itu sentiasa menjadi sebutan di beberapa negeri, terutama di utara tanah air.
Sang Kelembai digambarkan sebagai seorang budak lelaki yang tinggal di dalam hutan serta mempunyai kuasa sakti, manakala sumpahannya boleh menjadi batu.

Dia dikatakan gemar makan pucuk buluh dan menyebabkan orang kampung pada masa itu sukar mendapatkan buluh. Pucuk dimakan, pangkalnya mati.
Akhir cerita, Sang Kelembai berjaya dihalau dari kampung setelah pohon buluh ditebang. Ini bertujuan supaya Sang Kelembai sukar mendapatkan makanan.

Ada banyak versi mengenai kisah Sang Kelembai, dan antara kesan sumpahannya ialah batu seakan-akan kapal di puncak Gunung Jerai dikatakan kapal milik Maharaja Merong Mahawangsa serta batu di Bukit Tunggal yang menyerupai gajah di Kampung Gajah, Perak turut dikaitkan dengan sumpahan legenda itu.

Mitos Sang Kelembai turut disebut-sebut di Kodiang, satu kawasan di utara Kedah. Ini berikutan adanya batu seperti seekor kerbau dikatakan disumpah oleh budak itu di Gua Kerbau — satu daripada dua gunung di situ yang terkenal sebagai tarikan pelancongan.
Kisah itu antara daya tarikan Kodiang yang mendapat nama daripada perkataan Siam bermaksud bukit merah.

Menurut penduduk, Harun Hussain, 75, dari Kampung Kodiang Lama, keunikan bukit berwarna merah di tengah bendang itu menjadikan penduduk asal kawasan berkenaan sepakat menamakan kampung itu sedemikian.
Katanya, bukit itu juga banyak membantu pendapatan penduduk kerana tanahnya yang merah dikatakan boleh menghasilkan baja untuk petani pada masa dulu, selain tempat mencari najis kelawar untuk dibuat baja.

“Tidak pelik Kodiang menjadi pilihan kerana bahasa Thai sememangnya tidak asing bagi penduduk di situ berikutan adanya hubungan politik rapat dengan kerajaan Siam pada masa itu.

“Selain itu, Bukit Merah menjadi tempat orang dulu mencari akar kayu untuk perubatan seperti pokok manglai, tongkat ali dan lemba batu,” katanya.

Kodiang yang mempunyai dua kampung iaitu Kampung Kodiang Baru dan Lama, terletak di Mukim Keplu dalam daerah Kubang Pasu.

Kampung Kodiang Baru muncul apabila wujudnya pekan baru yang terletak ke utara sedikit dari kampung lama.

Kewujudan pekan Kodiang Baru adalah selaras dengan proses pembangunan dialami iaitu pembinaan lebuh raya menghubungkan Jitra di Kedah dan Arau di Perlis. Pertemuan persimpangan ini menyebabkan pekan Kodiang kini kian membangun.

Harun berkata, Kodiang dibuka sejak pertengahan kurun ke-14 lagi.

Ini berdasarkan fakta sejarah iaitu Kota Si Puteh pernah menjadi kota pemerintahan kerajaan Kedah selama 300 tahun (1321-1619) iaitu seramai enam keturunan kesultanan Kedah pernah bersemayam.

Menurutnya, ini terbukti dengan penemuan sejarah yang mengatakan Gua Kerbau di Kampung Kodiang Lama itu pernah menjadi pusat melatih tentera Kedah untuk menentang kerajaan Siam ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1804-1843).

Peranan penting itu dimainkan Tengku Anom dalam mengembalikan takhta kerajaan Kedah kepada Tengku Ahmad Tajuddin dengan menjadikan daerah Kubang Pasu sebagai pusat serangan.

“Di dalam Gua Kerbau ada satu kawasan yang mampu memuatkan 70 hingga 100 tentera bagi membuat latihan peperangan dalam sesuatu masa dan dikatakan juga ia adalah tempat persembunyian daripada tentera Siam yang sering berperang pada masa itu,” katanya yang juga generasi keempat di Kodiang.

Oleh kerana Kodiang pernah dijadikan pusat ketenteraan dan pentadbiran, dua golongan bangsawan terbesar masih mendiami kawasan itu iaitu keturunan ‘Ku’ dan ‘Syed’.

Difahamkan, gelaran ‘Ku’ datang daripada keturunan raja dari Kota Si Puteh dan ‘Syed’ pula daripada raja Perlis.

Harun berkata, jaringan keturunan itu tidak terhenti di situ saja kerana keturunan bangsawan di kampung ini juga mempunyai pertalian dengan raja Melayu di Satun, Thailand.


sumber : harian metro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ahlan wa sahlan !!!
terima kasih kerana sudi tinggalkan komen...